SEJARAH PEMBUKAAN JELEBU

Ke Jelobak ke Jelebu,
Tuai padi tiga tangkai, 
Kalau dah kena kemat Jelebu,
Kalau tak mati badan mengasai. 

klawang3

 

Jelebu merupakan sebuah daerah di Negeri Sembilan yang terdiri daripada lapan mukim, iaitu Kuala Klawang, Hulu Triang, Kenaboi, Pertang, Peradong, Hilir Triang dan Gelami Lemi. Pembukaan Jelebu berkait rapat dengan sejarah kedatangan orang Minangkabau yang terawal ke Semenanjung Malaysia. Berdasarkan sumber-sumber lisan, Jelebu dibuka oleh orang yang berketurunan Maharaja Alif yang menegakkan kerajaan Pagar Ruyung. Bangsawan itu menggunakan nama Batin Terjali. Dia berkahwin dengan Puteri Embong Sari Alam dan membuka beberapa perkampungan di Tanah Melayu. Batin Terjali telah meninggalkan anaknya menjadi penghulu di setiap tempat yang dibuka di Johor, Klang dan luak-luak yang empat di Negeri Sembilan.

Dalam pengembaraan Batin Terjali untuk meluaskan pemerintahannya, dia sampai ke Bukit Kundang Kundik di Jelebu. Di sinilah isterinya, Puteri Embong Sari Alam telah melahirkan seorang putera yang dinamakan Dato’ Niko Menteri Syah Mangku Alam Raja Sari. Ketika itu, Jelebu didiami oleh Orang Asli, terutama suku Biduanda dan Jakun. Sebelum meneruskan pengembaraannya, Batin Terjali telah meninggalkan putera-puteranya untuk dijaga oleh Batin Lambang Setia, ketua suku Biduanda di situ dan To’ Jerang Singa Raja. Dia berpesan supaya putera-puteranya dijadikan penghulu di situ apabila mereka telah dewasa.

Semasa di Jelebu, isteri Batin Terjali iaitu Puteri Embong Sari melahirkan seorang anak lelaki dan diberi nama Datok Niko Menteri Mangku Alam Raja Sehari. Sebelum meninggalkan Jelebu untuk meneruskan pengembaraannya, Batin Terjali telah mewariskan putera baginda kepada Ketua Suku Orang Asli supaya menjaga puteranya dan apabila besar kelak, hendaklah dijadikan Penghulu Jelebu. Ketua Orang Asli itu bersetuju dan berjanji akan patuh dengan apa yang telah diperintahkan.

Ketua Orang Asli telah menepati janjinya, dan Datok Niko Menteri Shah Mangku Alam Raja Sehari telah dilantik menjadi Penghulu Jelebu. Maka wujudlah pemerintahan putera Batin Terjali dan hubungan antara orang Minangkabau dan orang Asli terjalin dan sejak itulah orang Minangkabau mula berhijrah ke Jelebu. Dalam senarai daftar nama penghulu di Jelebu, orang pertama dicatat namanya sebagai Penghulu Jelebu ialah Datok Gombak, kemudian Datok Metunggang dan diikuti oleh Datok Moyang Salleh.

Menurut cerita orang-orang tua yang diceritakan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi, kisah tentang seorang Tok Batin yang telah membuka sebuah ladang labu dan tanaman labunya cukup subur sehingga akar labunya menjalar ke Ulu Klawang. Kerana kesuburan labu Tok Batin itu, maka ramai orang datang ke ladang labu Tok Batin tersebut.Mereka menamakan tempat itu sebagai ‘Jalar Labu' sehingga lama-kelamaan bertukar menjadi Jelebu.

Jelebu juga terkenal sebagai kawasan lindungan hujan kerana letaknya di dataran tinggi dan jarang menerima hujan berbanding kawasan lain di Negeri Sembilan. Kerana itu tanahnya subur dan terkenal dengan pengeluaran buah-buah tempatan dan penanaman tumbuhan di Jelebu adalah sangat subur.