Nama : Izzaidah Binti Ishak
Umur : 31 tahun
Ahli : 14 November 2016

 

Latar belakang

Puan Izzaidah merupakan seorang anak peneroka di perkampungan Felda Pasoh Satu, Jelebu, Negeri Sembilan. Berbekalkan minat dan niat untuk membantu suami dalam meningkatkan ekonomi keluarga telah mendorong beliau untuk mula berniaga. Sebelum ini beliau pernah bekerja sebagai operator pengeluaran di Seremban. Oleh kerana kos hidup yang semakin meningkat, serta keadaan kesihatan kedua ibu bapanya di kampung yang semakin lemah, ia telah memaksa Puan Izzaidah membuat keputusan untuk berhenti kerja sebagai operator pengeluaran dan pulang ke kampung halamannya di Felda Pasoh 1. Selepas kepulangan beliau ke kampung halaman, beliau bercadang untuk  menjual aiskrim potong secara kecil-kecilan di sekitar Felda Pasoh 1 bagi menampung perbelanjaannya di kampung. Puan Izzaidah mula berniaga secara kecil-kecilan pada awal bulan Oktober 2016.

Sebelum penggunaan ICT/ penglibatan PI1M

Sebelum penglibatan Puan Izzaidah dalam latihan di Pusat Internet 1Malaysia, beliau hanya berniaga secara kecil-kecilan di hadapan rumah sahaja. Pelanggan beliau hanyalah di kalangan jiran-jiran dan rakan-rakan terdekat. Ini kerana masih ramai yang tidak mengetahui mengenai perniagaan aiskrim potong yang beliau usahakan. Pada waktu itu, jumlah aiskrim yang berjaya dijual setiap hari hanyalah sekitar 10 batang sehari.

Selepas penggunaan ICT/ penglibatan PI1M

Melalui kelas latihan keusahawanan yang diadakan di Pusat Internet 1 Malaysia Felda Pasoh 1, Puan Izzaidah kini telah memiliki akaun ‘facebook’ sendiri yang dapat membantu mempromosikan perniagaan aiskrim potong beliau. Melalui ‘facebook’ kini beliau telah berjaya mempromosikan perniagaannya di dalam dan di luar Negeri Sembilan. Selepas promosi yang dibuat melalui laman sesawang ‘facebook’ dan aplikasi ‘whatsapp’, beliau telah menerima banyak tempahan untuk majlis-majlis kecil mahupun besar contohnya majlis hari lahir, majlis pertunangan dan juga majlis perkahwinan.Perniagaan beliau kini bukanlah hanya tertumpu di rumah sahaja. Beliau juga telah mempelbagaikan lagi perisa aiskrim potong yang dahulunya hanya terdapat tiga perisa sahaja iaitu perisa strawberry,vanila dan keladi.

Sedar akan kaedah pemasaran semasa, beliau ke Pi1M Felda Pasoh 1 bagi mempelajari teknik pemasaran yang terkini, iaitu pemasaran/pengiklanan diatas talian. Terdapat banyak medium pemasaran yang dipelajari oleh beliau seperti, pengiklanan melalui media sosial. Beliau berpendapat bahawa silibus atau kelas yang diadakan banyak memberi peluang pada masyarakat untuk menambah ilmu pengetahuan serta meningkatkan pengetahuan tentang dunia digital. Selain itu, program Dashboard yang terbaru amat menarik untuk dicuba oleh segenap lapisan masyarakat.